Dalil tentang Hasutan Syaitan
Dalam Surah Al-A'raaf, ayat 27, Allah SWT telah berfirman yang maksudnya:
"...Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman." (Al-A'raaf, sebahagian ayat 27)
Allah SWT juga berfirman di dalam Surah Az-Zukhruf ayat 36 hingga 37 yang maksudnya:
"Dan sesiapa yang tidak mengendahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya . Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Az-Zukhruf, ayat 36-37)
Dalam hadith Rasulullah SAW juga ada disebutkan bagaimana Syaitan merasuki manusia.
Shafiyah binti Huyay RA berkata, Rasulullah SAW bersabda; "Sesungguhnya Syaitan berpindah pada diri manusia melalui urat darahnya." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Yakinlah kita dengan dalil-dalilnya bahawa syaitan sememangnya wujud dan sentiasa tidak berputus asa untuk menyesatkan manusia. Maka kita seharusnya mengetahui bagaimana caranya untuk memagar diri daripada gangguannya.
Siapa Itu Syaitan
Sebelum memagar diri daripada gangguan syaitan, terlebih dahulu kita perlu mengenali siapa itu syaitan. Ibnu Jarir Ath-Thabari mengatakan, "Di dalam Bahasa Arab, syaitan bererti setiap pembangkang. Baik dari kalangan manusia, jin, binatang dan sebagainya."
Allah SWT berfirman dalam surah Al-An'aam ayat 112 yang maksudnya:
"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu. " (Al-An'aam ayat 112)
Syaitan dari golongan manusia mungkin agak mudah untuk kita tangani kerana kita dapat melihat mereka. Mungkin kerana mata hati yang gelap, manusia tetap tergoda dengan hasutan-hasutan manusia. Adalah yang perlu lebih diawasi ialah syaitan dari golongan jin yang kita tidak dapat melihat mereka sedangkan mereka sentiasa ada di mana-mana dan sentiasa pula menghasut manusia.
Ketahuilah kita bahawa pembangkang atau syaitan yang pertama sekali bermusuh dengan manusia ialah Iblis, iaitu dia telah membangkang apabila disuruh sujud menghormati Nabi Adam. Oleh kerana bantahannya ia telah dilaknat Allah SWT dan kemudiannya dia meminta tangguh kerana dendamnya untuk menyesatkan manusia. (Rujuk tafsir ayat 28 hingga 44 surah Al-Hijr untuk mengikuti kisahnya lebih lanjut).
Iblis telah diusir ke bumi dan di sini, ia telah mengumpulkan syaitan-syaitan dari golongan jin sebagai bala tenteranya. Dalam satu hadith riwayat Imam Muslim disebutkan, "Dari Jabir bin Abdullah RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda:
"Iblis meletakkan (membangun) singgahsananya di tengah lautan, lalu dia mengutus iringan bala tenteranya. Pasukan yang paling dekat di sisinya (yang paling dicintai) adalah yang paling besar godaannya (hasil fitnahnya). Salah satu pasukannya datang dan berkata kepadanya, 'Saya telah melakukan begini dan begini.' Maka Iblis berkata, 'Kamu belum melakukan apa-apa.' Lalu salah seorang dari pasukannya datang lagi dan berkata, 'Saya telah menjerumuskannya (seorang suami), hingga dia memisahkan isterinya (bercerai).' Maka Iblis mendekatkan pasukan ini kepadanya, dan berkata, 'Ya, itu baru bagus!'
A'masy berkata, "Saya melihatnya berkata, 'Maka dia pun mengikutinya.'" (Syarh Sahih Muslim 17/107)
Benteng Umum
Ada pun, benteng umum untuk mengelakkan gangguan dan kejahatan syaitan ialah dengan memelihara Iman. Sentiasalah memperbaiki keimanan kita dari hari ke sehari. Sebagai manusia biasa, Iman kita ada naik dan ada turunnya. Maka adalah penting untuk kita mempraktikkan larangan-larangan dan suruhan-suruhan Rasulullah SAW untuk memelihara diri daripada kejahatan syaitan.
Larangan dan Suruhan bagi Memelihara Diri Daripada Kejahatan Syaitan
1. Mengambil berat tentang solat berjemaah
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu berdampingan, lama-kelamaan ia akan berjaya merasuk, menyihir atau melakukan kejahatan lain.
Mengikut riwayat Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda, ertinya:
"Mana-mana kampung mahupun kawasan-kawasan hulu yang tidak mendirikan solat berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah. Sesungguhnya serigala akan memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya." (Riwayat Abu Dawud dengan sanad yang baik).
2. Menyebut nama Allah apabila masuk ke rumah dan apabila makan
Imam Muslim meriwayatkan di dalam Sahihnya, sebuah hadith dari Jabir bin Abdullah RA, beliau pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya:
"Apabila seorang lelaki memasuki rumahnya, lalu dia menyebut nama Allah ketika masuk dan ketika makan, syaitan akan berkata kepada teman-temannya, 'Tidak ada tempat penginapan dan makan malam untuk kalian.' Jika dia memasuki rumahnya tanpa menyebut nama Allah, syaitan akan berkata (kepada saudara-saudaranya), 'Kalian boleh ikut menginap di dalamnya malam ini.' Dan ketika makan, dia tidak menyebut nama Allah, syaitan berkata, 'Kalian boleh ikut menyantap makan malam.'"
3. Membaca doa perlindungan apabila masuk ke tandas
Terdapat hadith daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata, apabila Nabi Muhammad SAW memasuki tandas, baginda mengucapkan:
"Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari jin kafir (syaitan) betina dan syaitan jantan." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Berwuduk sebelum tidur
Disebutkan sebuah hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Bara` bin Azib RA, maksudnya:
"Apabila kamu hendak mendatangi tempat tidurmu, berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk melakukan solat." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
5. Membaca Ayat Kursi sebelum tidur
Dalam satu hadith yang panjang, diringkaskan di sini, bahawa Abu Hurairah RA menceritakan beliau telah didatangi seorang pencuri yang mencuri hasil kutipan zakat yang dijaganya sebanyak tiga kali, sedangkan telah dua kali diberi amaran dan dia telah berjanji tidak akan datang mencuri hasil kutipan zakat itu lagi.
Untuk kali ke tiganya, dia berkata "Lepaskanlah saya, saya akan mengajarkan beberapa kalimat semoga Allah memberikan manfaat untukmu dengan kalimat ini." Beliau pun bertanya tentang doa itu. Dia berkata, "Jika kamu berbaring di perbaringan, bacalah ayat kursi, kerana dengan begitu, Allah akan sentiasa menjagamu dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga pagi harinya."
Maka beliau pun melepaskannya sekali lagi. Pagi esoknya, Rasulullah SAW bertanyakan akan hal tahanannya lagi, lalu Abu Hurairah RA menceritakannya. Lalu baginda bersabda, "Mahkluk itu telah berkata benar kepadamu, sedangkan ia adalah si pendusta. Wahai Abu Hurairah, tahukah kamu siapa yang kamu ajak bicara sejak tiga hari yang lalu itu?" Beliau menjawab, "Tidak". Baginda bersabda, "Ia adalah syaitan." (Hadith Riwayat Bukhari dengan ta'liq)
6. Membaca Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas kemudian sapu seluruh badan sebelum tidur
Satu hadith daripada Aishah RA, mengatakan,
"Gabungkanlah kedua telapak tangan anda dan bacalah surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas padanya. Kemudian, tiuplah keduanya lalu sentuh anggota badan seluruhnya, sejauh yang dapat dicapai dimulai dari kepala." (Hadith sahih Bukhari, riwayat Aishah RA)
7. Tutup mulut apabila menguap
Dalam satu hadith, Abu Said Al-Khudri RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Apabila salah seorang di antara kamu menguap, hendaklah dia menutup mulutnya dengan tangan, kerana syaitan akan masuk." (Hadith Riwayat Imam Muslim dan Ad-Damiri)
8. Bersihkan hidung jika terjaga tengah malam
Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
"Apabila salah seorang di antara kamu terbangun dari mimpinya, hendaklah dia melakukan istintsar tiga kali, kerana syaitan bermalam pada hidungnya." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Istintsar ialah perbuatan menyedut air ke dalam hidung, kemudian menghembusnya keluar, seperti ketika berwuduk. Hikmah lain istintsar ialah ia merupakan satu penawar bagi penyakit resdung. Amalkanlah selalu, contohnya selepas keluar ke kawasan kotor berdebu seperti di jalan raya.
9. Mendirikan Solat Tahajjud
Apabila seseorang tidur, lalu bangun di pagi harinya tanpa sedikit pun qiyamullail, syaitan akan semakin dekat menguasainya. Dari Abdullah bin Masud RA, dia berkata,
"Pernah disebutkan kepada Rasulullah SAW seorang lelaki yang tidur semalam penuh hingga bangun di pagi harinya, maka beliau bersabda: 'Itu adalah orang yang kedua telinganya (atau satu telinganya) telah dikencingi syaitan.'" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
10. Tutup rumah dan tahan anak-anak menjelang Maghrib
Dalam satu hadith marfu' yang meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah RA, katanya;
"Janganlah kalian biarkan unta, lembu, kambing dan yang sejenisnya, serta anak-anak kalian masih berkeliaran di luar rumah ketika matahari terbenam hingga kabut malam (waktu Isya') menghilang; kerana syaitan-syaitan bertebaran ketika matahari terbenam, hingga kabut malam menghilang." (Hadith Riwayat Muslim)
11. Jangan kencing pada lubang-lubang
Imam Nasa'i meriwayatkan dari Qatadah, dari Abdullah bin Sirjis, katanya Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya;
"Janganlah salah seorang di antara kaluan kencing pada lubang-lubang." Mereka bertanya kepada Qatadah, "Mengapa kita dimakhruhkan untuk kencing pada lubang-lubang?" Dia menjawab, "Kerana lubang-lubang merupakan tempat tinggal jin." (Hadith Riwayat Abu Dawud, An-Nasa'i dan Imam Ahmad)
12. Mengingat Allah setiap waktu dan keadaan
Menurut satu kajian oleh Prof Dr Sir Norhisham Wahab, seorang pelopor Colour Vibration Therapy (CVT), syaitan dan jin tidak memiliki unsur jasad menyebabkan mereka tidak dapat dilihat sebaliknya kewujudan mereka terbukti menerusi sains fizik kuantum dan mampu dikesan menggunakan teknologi gelombang. Zikir pula memiliki gelombang tetap dan apabila diamalkan secara berterusan, gelombang zikir akan menguasai ruang kosong pada tubuh manusia dan menjadikannya pejal, menyebabkan tiada lagi ruang untuk dimasuki gelombang asing seperti syaitan atau jin. Selalulah berzikir dengan zikir yang telah diajar oleh Rasulullah SAW yang banyak dikumpulkan sekarang di dalam koleksi Al-Maksurat dan Al-Azkar.
Dalam satu hadith, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya;
"Dan aku memerintahkan kalian untuk mengingat Allah kerana perumpamaan mengenai hal itu seperti seorang lelaki yang dikejar oleh musuh-musuhnya hingga ia sampai di sebuah benteng kukuh yang melindungi dirinya dari mereka. Sama halnya dengan seorang hamba tidak akan dapat menjaga dirinya dari syaitan kecuali dengan mengingat Allah (berdzikir kepada Allah)." (Hadith Riwayat At-Tirmidzi)
13. Mengingat Allah ketika bangun tidur
Dari Abu Hurairah RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;
"Jika seseorang dari kalian tidur, maka syaitan membuat tiga ikatan pada lehernya yang dilakukan padamu sepanjang malam tidurmu. Maka tidurlah, dan jika kamu terbangun, sebutlah/ingatlah Allah, maka satu ikatan akan terlepas. Kemudian jika kamu berwuduk, maka akan terlepas satu ikatan, dan kemudian jika kamu melaksanakan solat, maka akan terlepas satu ikatan lagi hingga ia memulakan paginya dengan semangat dan jiwa yang bersih. Jika tidak, maka jiwanya akan kotor dan dalam keadaan malas."(Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
14. Mengingat Allah ketika keluar rumah
Dari Anas bin Malik RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya;
"Barangsiapa yang ketika akan keluar rumah mengucapkan; bismillahi tawakkaltu alalloh la haula wa la quwwata illa billah (dengan nama Allah, aku berserah diri kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali kekuatan Allah), maka kepadanya akan dikatakan cukuplah bagimu, kamu telah dijaga dan syaitan telah menjauh darimu." (Haith Riwayat At-Tirmidzi)
15. Mengingat Allah ketika masuk masjid
Diriwayatkan dari Abdullah bin Amru bin Al-Ash RA, dari Nabi Muhammad SAW bahawa ketika akan masuk masjid, baginda mengucapkan, "A'udzu billahil-azhim wa bi wajhihil-karim wa sultonihil-qodimminassyaithonirrojim (Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung, dengan wajah-Na yang mulia dan dengan kekuasaan-Nya yang qodim dari syaitan yang terkutuk." Beliau berkata, "Itu saja?" Baginda berkata, "Ya, jika seseorang mengucapkan ini, maka syaitan akan berkata 'Ia telah dijaga dariku sepanjang hari'. " (Hadith Riwayat Abu Dawud)
16. Merapatkan saf solat berjemaah
Ibnu Umar berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya;
"Luruskan barisan dan rapatkan bahu-bahu di antara kamu, dan lembutkan badan kamu untuk saudara yang di sebelah kamu. Jangan tinggalkan ruang kosong untuk syaitan mengambil tempat. Sesiapa yang merapatkan saf, maka Allah akan bersama dengannya dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan putuskan hubungan dengannya." (Hadith Riwayat Abu Dawud)
17. Mengingat Allah ketika menanggalkan pakaian
Dari Anas RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya;
"Penghalang antara pandangan syaitan dan aurat anak cucu Adam adalah, apabila ia menanggalkan pakaiannya, mereka mengucapkan bismillah." (Hadith Riwayat At-Thabarani)
Adalah penting membaca doa menanggalkan pakaian kerana banyak kes terjadi di mana jin telah tergoda dengan manusia dan menaruh cintanya kepada manusia itu hingga membawa mudarat kepadanya. Doa menanggalkan pakaian:
Ertinya: Dengan nama Allah yang tiada tuhan selain dari Dia.
18. Mengingat Allah ketika akan berhubungan suami isteri
Dari Abdullah bin Abbas RA, ia mengatakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya;
"Jika salah seorang dari kalian ingin menggauli isterinya, hendaklah ia mengucapkan 'Allahumma janibnassyaiton wa jannibissyaiton ma rozaqtana' (Ya Allah ya Tuhan kami, jauhkanlah kami dari syaitan dan jauhkanlah syaitan dari apa yang telah Engkau berkan kepada kami). Jika Allah menakdirkan kepada keduanya seorang anak (dari hubungan itu), maka anak tersebut akan terhindar dari syaitan selamanya." (Hadith Riwayat Bukhari)
19. Makan Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah
Buah Tamar atau Kurma mempunyai pelbagai khasiat. Bagi Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah, Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya;
"Barangsiapa yang memakan tujuh biji kurma Madinah setiap paginya, maka pada hari itu ia tidak akan dibahayakan oleh racun mahupun sihir." (Hadith Riwayat Bukhari)
20. Mengelakkan pintu-pintu kemasukan jin dan syaitan
Daripada penceritaan para pengamal perubatan Islam, terdapat empat pintu utama yang ditunggu-tunggu oleh jin dan syaitan untuk merasuki manusia. Empat pintu itu ialah:
- Terlalu marah
- Terlalu gembira/ seronok/ leka
- Terlalu dukacita
- Terlalu syahwat
Selain itu, syaitan mudah menghasut manusia apabila ia dalam keadaan kenyang, terlalu sayangkan harta dunia, melakukan sesuatu dalam keadaan tergesa-gesa, terdetik di dalam hati perasaan hasad dengki dan lain-lain lagi.
Sebenarnya banyak lagi pintu masuknya syaitan jika dikaji secara terperinci. Untuk itu, adalah lebih baik untuk sentiasa membentengi diri dengan dzikrullah (mengingati Allah) setiap masa dan jauhilah sifat-sifat tercela.